Program Profesor Turun Padang: Robotics Bootcamp

Program Profesor Turun Padang: Robotics Bootcamp

Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Assunta Convent dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) telah menganjurkan Program Profesor Turun Padang: Robotic Bootcamp pada 21-23 Ogos 2023.

Program ini telah berlangsung selama 2 hari di Fakulti Komputeran (FK), UMPSA Pekan dan 1 hari di Dewan Gemilang, Sekolah Kebangsaan (SK) Assunta Convent. Ia melibatkan 120 orang murid dari 5 buah sekolah dari daerah Kuantan iaitu SK Assunta Convent, SK Pelindung, SK St. Thomas, SK Teruntum dan SK Sungai Karang.

Majlis Pembukaan telah berlangsung pada 21 Ogos 2023 di FK dan di rasmikan oleh Dekan PSM, Prof. Dr. Mohd Zuki Salleh. Hadir sama dalam majlis ini adalah Guru Besar SK Assunta Convent, Pn Siti Hajar Hashim dan Yang Di-Pertua (YDP) PIBG SK Assunta Convent, En Mohd Akmal Kong Abdullah.

Lain-lain tetamu yang hadir adalah Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) PSM, Prof. Madya Mohd Sham Mohamad, Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) FK, Ts. Dr. Junaida Sulaiman dan Prof. Dr. Wan Azmi Hamzah dari  Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automatif (FTKMA).

Turut berlangsung majlis menandatangani sijil jalinan kerjasama strategik bersama lima buah sekolah dalam mewujudkan hubungan yang lebih mendalam bagi memperkasakan sektor pendidikan serta memperkukuhkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kurikulum mereka.

Manakala Majlis Penutup telah berlangsung pada 23 Ogos 2023 di Dewan Gemilang, SK Assunta Convent dan telah di hadiri oleh Guru Besar SK Assunta Convent, YDP PIBG SK Assunta Convent, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PSM, Pengarah Bahagian Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat , En Zainuddin Mat Hasan, Penolong Pengarah JPN Unit Pembangunan Bakat Murid, En Arman Mohamad Tojid, guru-guru dan pensyarah-pensyarah UMPSA.

Dalam program ini pelajar-pelajar dapat mempelajari konsep asas dan cara pengendalian robot Lego EV3 Mindstorms dengan berpandukan modul yang telah dibangunkan oleh pensyarah UMPSA dan berpeluang melawat dan meninjau fasiliti makmal di FK, UMPSA Pekan. Pelajar juga berpeluang menimba pengalaman secara praktikal dalam menyiapkan tugasan secara berkumpulan bagi projek Team Challenge seperti Park Your Robot, Create a Companion, Surprise Button, Angular Drive dan Capstone Challenge: Roadwork & Cleaning Robot.

Diharapkan dengan program ini dapat memberikan pendedahan dan memperkenalkan mereka mengenai teknologi robotik dan memperluaskan ilmu dalam bidang STEM.

PSM berbesar hati dan memberikan penghargaan kepada Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin  yang telah memberikan fasiliti dan juga khidmat teknikal. Juga penghargaan kepada pembangun Modul Asas Kemahiran Teknologi Robotik dari FTKMA iaitu Prof. Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani, Dr. Mohd Fitri Yusof dan Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris serta pelajar-pelajar pascasiswazah yang turut serta menyumbangkan khidmat teknikal dalam menjayakan program ini.

Disediakan oleh : Dr. Nor Aida Zuraimi binti Md Noar
Foto ehsan: En Zaffaruddin Hamzah, Unit Korporat UMPSA


Print   Email